Kisah Gergasi Kinoringan

Suatu masa dahulu, sepasang suami isteri yang tinggal di suatu kampung aman iaitu Kelawat. Pasangan suami isteri ini sudah lanjut umur tetapi masih lagi belum dapat menimang cahaya mata lagi sejak sekian lama. Mereka berdua sering meminta tuhan Kinoringan agar mengurniakan mereka seorang anak.

Selepas itu, pada suatu hari semasa mereka sedang menikmati makanan tengah hari muncul suatu cahaya ganjil yang menerangi seluruh ruang rumah. Mereka menjadi takut dan kemudian bersembunyi di penjuru rumah sambil memejamkan mata mereka dengan rapat. Satu suara kemudian menyeru mereka berdua agar jangan takut serta  memberitahu mereka bahawa dia hanya ingin membantu. Suara itu juga telah memberitahu mereka bahawa Kinoringan telah mendengar doa mereka dan akan mengurniakan seorang anak kepada pasangan tersebut. Kedua-dua pasangan suami isteri ini kemudiannya telah membuka mata mereka dengan perlahan. Mereka menyangka akan bertemu dengan roh bersayap tetapi apa yang mereka lihat hanyalah cahaya ganjil yang menerangi rumah. Lelaki tua itu kemudian bertanya dari manakah cahaya itu berasal dan bagaimanakah pula mereka berdua akan mendapat anak dengan suara yang menggeletar ketakutan. 

Suara itu kemudiannya mengarahkan agar lelaki tua itu jangan bertanya dan mendengar penjelasannya yang seterusnya. Arahan yang ingin dikatakan kepada pasangan suami isteri itu adalah agar anak yang bakal dikurniakan itu tidak dibenarkan melihat darah selama tujuh minggu. Cahaya yang datang bersama-sama suara itu hilang perlahan-lahan selepas menyampaikan arahan tersebut. Beberapa bulan kemudian, pasangan suami isteri itu telah mendapat seorang anak lelaki. Orang-orang kampung yang tinggal bersama mereka berdua juga tumpang gembira setelah mendapat tahu berita tersebut. Para penduduk kampung juga membantu menjaga bayi mereka berdua dan sentiasa mengelakkan bayi tersebut daripada terlihat darah. Selama enam minggu, bayi tersebut telah dijaga dengan baik namun demikian pada minggu terakhir satu kemalangan telah terjadi. Seorang pengawal yang menjaga bayi tersebut telah menjatuhkan tempayan ke lantai. Serpihan-serpihan tempayan itu telah mengenai lengan bayi tersebut dan melukakannya. Darah yang mengalir itu telah dilihat bayi pasangan tersebut.

Sejurus selepas itu, kilat mula sabung-menyabung dan ini telah mengelirukan penduduk-penduduk kampung sekalian. Mereka sangat terkejut dan tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah mereka ternampak serpihan tempayan yang terjatuh itu. Bayi itu juga telah hilang dan bermulalah pencarian oleh para penduduk kampung itu. Mereka tahu bahawa mereka telah melanggar janji dan akan dihukum oleh Kinoringan kelak. Selama beberapa hari, penduduk kampung itu tinggal dalam ketakutan memikirkan hukuman yang akan dijatuhkan oleh Kinoringan terhadap mereka. Tetapi, setelah beberapa bulan berlalu tidak ada apa-apa berlaku dan secara beransur-ansur peristiwa itu telah dilupakan masyarakat kampung tersebut.

Kemudian pada suatu hari, semasa perjumpaan telah diadakan di pusat kampung muncul seorang pahlawan yang cedera serta berlumuran darah. Pahlawan itu berlari terus ke arah ketua kampung dan dari pengetahuan orang kampung, pahlawan itu bernama Talip. Talip yang sudah cedera parah itu jatuh tersungkur serta sesak nafas setelah sampai ke tempat ketua kampung berdiri. Ketua kampung itu dengan tidak semena-mena bertanyakan hal yang terjadi serta kehilangan adiknya Tiap. Talip ingin menjawab namun sebelum dia sempat memberitahu hal sebenar, maut telah menjemputnya pergi.Talip hanya sempat memberitahu adiknya telah ditangkap gergasi dan dia pula telah tercedera semasa ingin menyelamatkannya.

Setelah kematian pahlawan itu ketua kampung itu berasa amat marah dan sedih kerana mereka berdua merupakan pahlawannya yang terbaik. Keesokan harinya, 20 orang pahlawan gagah telah diarahkan oleh ketua kampung itu untuk memburu gergasi itu di kawasan hutan. Pahlawan-pahlawan yang disertai ketua kampung telah mencari gergasi itu dalam kawasan hutan yang tebal itu sehingga berbatu jauhnya dalam hutan sebelum mereka berehat berdekatan sebatang sungai untuk minum. Tidak lama kemudian ketua kampung telah terserempak dengan satu bayang-bayang besar. Gergasi yang bermata satu telah muncul dari hutan rimba sambil merenung ke arah pahlawan-pahlawan tersebut. Mata gergasi itu bersinar serta kemerah-merahan malah mempunyai gigi yang seakan-akan gading gajah. Sesetengah pahlawan itu terus cabut lari bersama-sama ketua kampung tetapi ada yang terlalu takut hingga tidak dapat bergerak. Gergasi itu seterusnya menyambar empat orang pahlawan sekaligus dengan kedua belah tangan dan menelan mereka satu demi satu manakala pahlawan-pahlawan yang lain pula berlari balik ke kampung. Cerita itu tersebar ke seluruh kampung setelah kepulangan mereka dan segelintir penduduk kampung telah membuat keputusan meninggalkan kampung itu. Namun, ketua kampung pula memberi amaran bahawa gergasi itu sedang menunggu di luar kampung menantikan mangsa seterusnya. Apabila para penduduk kampung terdengar amaran ini mereka mula melupakan hasrat mereka itu memandangkan ketua kampung itu juga merupakan seorang yang tinggi ilmunya.           

Setelah berbulan lamanya penduduk kampung tersebut tidak dapat keluar daripada kawasan kampung mereka kerana bimbang dibaham gergasi tersebut. Oleh itu mereka kekurangan makanan akibat tidak dapat keluar memburu di hutan. Ketua kampung itu akhirnya menyeru serta meminta bantuan daripada roh Libabau. Seruan daripada ketua kampung itu telah diketahui oleh Libabau dan bertanya apakah masalah mereka. Ketua kampung itu akhirnya menjawab bahawa mereka terlalu takut untuk pergi memburu kerana seekor gergasi sedang menunggu di luar. Ketua kampung itu bertanya lagi mengapakah gergasi itu datang ke kawasan mereka dan mengapakah gergasi itu tidak mahu pergi dari situ.  Limbabau seterusnya berkata bahawa penduduk kampung Kelawat telah melakukan kesalahan besar dan Kinoringan sangat marah dengan mereka. Limbabau menyatakan bahawa Kinoringan telah menukar bayi tersebut kepada gergasi tersebut untuk menakutkan para penduduk kampung tersebut. Namun begitu, Limbabau tetap berjanji akan menolong menyelesaikan masalah itu dan telah memberitahu para penduduk caranya untuk membunuh gergasi itu. Gergasi itu hanya akan mati apabila 7 anak panah yang telah direndam dalam darah selama 7 kali dipanah ke arah mata gergasi itu menurut Limbabau. Darah yang perlu disediakan itu pula seharusnya datang daripada diri para penduduk sendiri manakala tujuh anak panah beserta dengan alat memanah itu telah disediakan Limbabau di luar kampung mereka.

Selepas menyampaikan nasihat serta cara-caranya membunuh gergasi itu, Limbabau meninggalkan kampung tersebut. Ketua kampung merupakan orang yang pertama menitiskan darahnya ke dalam balang tersebut dan ini diikuti oleh orang-orang kampung yang lain. Keesokan harinya, ketua Kampung Kelawat meninggalkan kampungnya bersama-sama balang berisi darah tersebut. Tidak ada sesiapa yang berani keluar daripada kampung itu melainkan ketua kampung itu sendiri. Memandangkan beliau mempunyai kepakaran memanah yang terbaik dalam kampung itu, maka ketua kampung itu menawarkan diri sendiri untuk bersemuka dengan gergasi tersebut. Semasa ketua kampung itu dalam perjalanan memburu gergasi itu, dia terserempak dengan tujuh anak panah tersebut beserta alat memanah seperti yang dinyatakan Limbabau. Kemudian beliau meneruskan perjalanannya kembali sehingga beliau tiba ke tempat 4 orang pahlawan itu dibaham dahulu. Beliau berasa sangat marah dan bersumpah akan membunuh gergasi itu dengan apa jua cara sekalipun. Ketua kampung itu terjumpa dengan gergasi itu pada waktu petang. Pada kali ini rupa gergasi itu adalah lebih ganas dari dulu tetapi ketua kampung tersebut bertekad akan menghapuskan gergasi itu. Beliau dengan sepantas kilat merendamkan anak panah itu dalam darah dan melepaskannya ke arah mata gergasi itu. Panahan pertama itu mengenai mata gergasi tersebut walaupun telah cuba ditangkis olehnya. Gergasi itu mengerang kesakitan dan pada masa yang sama ketua kampung itu melepaskan satu lagi anak panah ke arah mata gergasi itu. Anak panah demi anak panah dilepaskan ke arah mata gergasi itu sehinggalah anak panah terakhir. Semasa anak panah ketujuh mengenai mata gergasi itu, teriakan yang amat kuat telah kedengaran. Gergasi itu akhirnya menjadi semakin kecil sehingga lesap dan sumpahan Kinoringan telah dipatahkan.

Kisah Monsopiad

oleh Fidelis Insing

Monsopiad merupakan seorang pahlawan kaum Kadazan yang sangat digeruni pada masa dahulu. Beliau dikatakan tinggal di suatu kawasan kampung berdekatan ibukota Sabah.

Monsopiad dikatakan sebagai pahlawan gagah yang tinggal 250 tahun yang lalu dan menjalankan aktiviti pemburuan kepala yang sudah diberhentikan kini. Di dalam Perkampungan Kebudayaan Monsopiad (Monsopiad Cultural Village) terdapat 42 tengkorak kepala yang merupakan mangsa Monsopiad. Kepala-kepala tengkorak ini adalah tanda keberanian serta kegagahan beliau dalam mata kaumnya. Kebanyakkan tengkorak kepala ini dipancung daripada lanun-lanun serta perompak yang sememangnya berleluasa pada masa lalu. Monsopiad juga pernah dicabar pahlawan di kalangan kaumnya sendiri daripada kawasan lain serta juga kaum lain juga. Pahlawan-pahlawan yang pernah mencabarnya kesemuanya telah menemui ajal dan tengkorak kepala mereka telah diletakkan di dalam rumah beliau sendiri.

Di dalam perkampungan Monsopiad terdapat satu batu besar beratnya 2 tan serta setinggi 4 meter  yang dinamakan Monolit. Batu besar ini diletakkan pada tempatnya kini oleh para penduduk kampung tersebut pada masa dahulu setelah diperintah Monsopiad. Masyarakat kampung tersebut telah diarahkan agar membina satu tugu bagi memperingati jasa beliau sendiri dengan bantuan bobohizan (bomoh Pagan) serta roh-roh yang diseru bomoh-bomoh ini.

Batu besar granit tersebut telah diukir daripada permukaan sebuah bukit dari pulau berdekatan. Batu ini diletakkan pada 2 buah rakit besar dan diangkut sejauh 10 batu melalui laut terbuka sehingga ke sungai Moyog sebelum diletakkan di tempatnya kini. Peristiwa ini boleh dikatakan agak menakjubkan memandangkan belu ada teknologi canggih 250 tahun yang lalu.

Monsopiad menggunakan batu ini untuk mengeringkan kepala mangsa yang telah dipenggalnya. Upacara ini sering dilakukan sambil para bobohizan membaca mantera serta diiringi nyanyian gadis-gadis muda. Pahlawan-pahlawan yang lain pula akan berteriak dengan suara lantang seperti dalam peperangan. Di dalam perkampungan bersejarah ini juga boleh dilihat pokok yang memiliki roh dan tanah perkuburan suci Latana seorang puteri kaum Kadazan.

Lagenda Batu Bajau

oleh Fidelis Insing

Pada suatu masa dahulu tinggal seorang manusia yang sangat tinggi orangnya di kampung Kampung Solibog,Tambunan. Orang ini dinamakan Bajau kerana dia berasal daripada kaum Bajau. Isterinya juga mempunyai ketinggian yang sama dengan Bajau.

Walaubagaimanapun tiada sesiapa pun yang dapat memberitahu setinggi mana Bajau hingga kini. Cerita ini menyatakan bahawa Bajau memiliki saiz badan yang sangat besar. Tapak kaki Bajau juga sangat besar sehinggakan apabila dia menyeberangi sungai ramai orang kampung yang akan mengekorinya. Ini kerana mereka ingin mengambil ikan-ikan yang mati dipijak Bajau. Oleh itu, orang-orang kampung mendapat faedah daripada Bajau terutamanya dari segi makanan. Apabila orang-orang kampung hendak menangkap ikan, maka Bajau akan diminta untuk berbaring di dasar sungai Pegalan. Orang-orang kampung akan mengumpul ikan-ikan yang mati itu pada bahagian kering tempat Bajau berbaring.

Pada masa itu, permusuhan antara kumpulan-kumpulan kaum etnik juga berlaku. Orang-orang kampung Solibog sangat dibenci oleh orang-orang Tapasang yang tinggal di bukit. Permusuhan ini berlaku kerana orang-orang Tapasang mencemburui kehadiran Bajau yang memberikan banyak faedah kepada orang-orang kampung Solibog. Oleh itu, orang-orang Tapasang mencuba untuk membunuh Bajau agar orang-orang Solibog tidak mendapat faedah lagi. Mereka telah bersedia untuk membunuh Bajau menggunakan penyumpit yang telah dimasukkan sumpit beracun. Namun demikian usaha yang mereka lakukan semasa menyerang Bajau cumalah sia-sia sahaja kerana dia hanya terasa seperti digigit nyamuk sahaja.

Penghormatan yang diberikan kepada Bajau bukan sahaja kerana sumbangannya dari segi penangkapan ikan tetapi juga kerana suatu peristiwa. Peristiwa ini seperti yang dinyatakan ialah Bajau telah mengangkat satu batu besar ke tempat di mana dia hendak dikebumikan. Ramai orang telah mencuba untuk mengangkat batu besar tersebut yang dibawa Bajau di bawah ketiaknya ke suatu tempat yang dipanggil Batu Bajau. Sehingga ke hari ini, batu besar itu masih dapat dilihat dan dinamakan Batu Bajau.

Batu Bajau adalah setinggi dua kaki dan juga dua kaki lebar.  Batu ini secara semulajadinya mempunyai makna tersendiri kepada orang ramai. Batu ini dikatakan dijaga atau dihuni oleh roh-roh jahat yang akan mendatangkan penyakit kepada orang-orang yang datang mengganggu. Tidak lama dahulu, roh-roh jahat ini dikatakan menjadi sangat ganas di mana orang yang melaluinya akan sakit serta-merta atau menemui ajal. Sesiapa sahaja yang melalui kawasan batu ini yang memakai baju lama akan jatuh sakit. Terdapat orang ramai yang sangat mempercayai mitos ini sehinggakan mereka sanggup memakai baju baru atau mengelak daripada melalui kawasan tersebut bagi memastikan roh-roh itu tidak diganggu. 

Sejarah Gawai Dayak

KUCHING: Tanggal 1 Jun setiap tahun, kaum Dayak (Iban dan Bidayuh) di Sarawak menyambut Perayaan Hari Gawai untuk meraikan tamatnya musim menuai padi.

Sejarah perayaan ini bermula apabila sebuah forum dikelolakan di sebuah stesen radio pada tahun 1957 bagi membincangkan kepentingan mewujudkan suatu perayaan bagi suku kaum Dayak.

Ketika pemerintahan British, pihak koloni enggan mengiktiraf perayaan itu sehinggalah ia diwartakan secara rasmi oleh kerajaan Negeri Sarawak pada 25 September 1964 dengan usaha Dato Sri Tra Zehnder dan beberapa pemimpin Dayak yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika itu.

Pada asalnya Hari Gawai adalah perayaan yang lebih berbentuk keagamaan bagi kaum Dayak iaitu suku Iban, Bidayuh dan Orang Ulu sebagai tanda berterima kasih kepada ‘Petara’ (Tuhan) setiap kali selepas musim menuai dan sebelum memulakan penanaman padi untuk musim sete- rusnya.

Perayaan Gawai Dayak menuntut masyarakatnya menghargai budaya dan memastikan ‘semangat’ padi sentiasa dijaga dan terus dihormati selama-lamanya.

Perayaan Hari Gawai atau turut disebut sebagai “Hari Gawea” dalam dialek Bidayuh kini menjadi simbolik yang memperlihatkan perpaduan, aspirasi dan harapan kaum Dayak di Sarawak.

Berbanding dengan beberapa waktu dahulu, persediaan awal sebulan sebelum perayaan biasanya sudah dilakukan iaitu dengan menyediakan air tapai dikenali sebagai ‘tuak’.

Menjelang hari perayaan pula, golongan wanita Dayak akan sibuk bekerjasama membuat kuih tradisional seperti kuih penyaram, kuih sepit, kuih jala, kuih cap dan penganan yang diperbuat daripada tepung beras dan santan kelapa.

Menu makanan pula, ayam pansuh menjadi kemestian untuk juadah bersama keluarga atau tetamu yang datang berkunjung selain lemang pulut yang biasanya dibakar di perkarangan rumah bagi kegunaan adat istiadat misalnya upacara miring untuk dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan.

Ketika perayaan Gawai, setiap suku kaum Dayak lengkap berpakaian tradisional masing-masing dengan motif dan corak yang unik serta menonjolkan lagi kecantikan semulajadi paras rupa mereka.

Bagi anak-anak gadis pula, mereka akan mengenakan perhiasan perak dan gubahan manik yang diwarisi sejak turun-temurun serta memiliki seni estetika yang cukup mengagumkan. Khazanah ini menjadi kebanggaan bagi setiap suku kaum Dayak kerana ia merupakan peningggalan yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Seperti perayaan Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan lain-lain, amalan kunjung mengunjung atau dalam dialek tempatan ‘ngabang’ juga diamalkan oleh masyarakat Dayak bagi memeriahkan suasana perayaan.

Kumang Gawai

Selain itu, antara aktiviti ter- kenal diadakan ketika perayaan Hari Gawai adalah pertandingan ratu cantik atau Kumang Gawai. Biasanya, sambutan perayaan Gawai dianggap berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat diturunkan dan seterusnya majlis Ngiling Bidai dilakukan yang memberi signifikan perayaan sudah pun tamat.

Hakikatnya, sambutan Gawai Dayak sebenarnya tidak terhad pada 1 Jun semata-mata. Konsep Gawai juga disambut dalam pelbagai cara dan maksud serta berbeza-beza mengikut suku kaum serta etnik berdasarkan bahagian dan daerah tempat masing-masing.

Secara umum, Gawai Dayak adalah sambutan tahunan dalam komuniti masyarakat Iban juga dikenali sebagai Gawai Padi di- ikuti puluhan sambutan gawai yang lain.

Gawai Antu

Selain itu, antara gawai lain yang popular dalam komuniti Iban adalah Gawai Burong, Gawai Antu dan Gawai Pangkung Tiang.

Gawai Burong disambut bagi tujuan untuk menyembah dan memuja Sengalang Burong iaitu tuhan peperangan, perlindungan dan keamanan.

Gawai Antu pula adalah sambutan terakhir memperingati semua orang yang sudah me- ninggal dunia dalam satu generasi keluarga sejak sambutan Gawai Antu sebelumnya.

Gawai Antu ini harus disambut hanya sekali dari satu generasi ke satu generasi secara besar-besaran. Sementara itu, Gawai Pangkung Tiang disambut dengan memukul tiang utama rumah sesudah pindah ke rumah baru sebelum ada kematian bagi memohon “gayu guru, gerai nyamai senang lantang nguan menoa” iaitu bermaksud “panjang umur, sihat walafiat serta senang lenang mendiami dunia.”

Gawea Bidayuh

Komuniti Bidayuh pula terdiri daripada tiga kumpulan besar iaitu Singai-Jagoi (Daerah Bau), Bukar-Sadong (Daerah Serian) dan Biatah (Daerah Padawan/Siburan).

Kebanyakan komuniti Bidayuh ini berkongsi adat resam, tradisi dan sambutan perayaan yang hampir serupa walaupun bahasanya berlainan dari satu daerah ke daerah yang lain.

Antara sambutan gawai yang  popular dalam komuniti Bidayuh Bau ialah Gawea Podi/Umoh, Gawea Tubi Bauh, Gawea Sowa Bauh dan Gawea Sopid/Oran.

Gawea Podi/Umoh disambut dengan tujuan memohon berkat “Ieng Topa” (Tuhan) ke atas benih padi dan pada masa sama memohon berkat ke atas tanah agar subur dan tidak dilanda bencana alam seperti banjir atau kemarau.

  Gawea Tubi Bauh pula dirayakan bagi memohon berkat “Ieng Topa” untuk memberi kebenaran kepada penduduk untuk menuai padi yang sedang menguning.

Menurut kepercayaan masyarakat setempat, sekiranya ritual ini tidak dilakukan, penduduk akan sakit apabila memakan hasil tanaman tersebut.

Sementara Gawea Sowa Bauh pula merupakan perayaan yang disambut besar-besaran bagi tanda kesyukuran dan menunjukkan tamatnya musim menuai padi dan bermula tahun penanaman padi yang baharu.

  Masyarakat Dayak di Sarawak sekarang boleh berbangga dengan pengiktirafan sambutan Hari Gawai yang telahpun dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Sarawak.

Lagenda Pesta Kaamatan

Pesta Kaamatan atau di dalam bahasa kadazan "Magavau" ini merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaum kadazandusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang kita rayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai Cuti Umum sejak tahun 1960 lagi. Beliau yang bertanggungjawab untuk mengusulkan agar Pesta Kaamatan ini diisytiharkan sebagai Cuti Umum ialah Allahyaraham YAB Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, SMN, PSM. SPDK, PNBS, bekas Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Asal Usul Magavau

Terdapat banyak sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum Kadazandusun. Walau bagaimanapun ianya tetap membawa maksud yang sama.

Menurut cerita lisan, Kinoingan ( Tuhan ) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun.

Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih p adi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambazon".

Bermula dari kejadian inilah orang-orang Kadazandusun memulakan upacara Pesta Kaamatan ( Pesta Menuai ) seperti yang kita rayakan dewasa ini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan.

Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai ( Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat

Kaum Kadazandusun akan Penciptanya ( Kinoingan ) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.

Sejarah Sarawak Rangers (1862 – 1963 )


Pesuruhjaya British di Malaya iaitu Sir Gerald Templer pernah menggelar pasukan Sarawak Ranger sebagai Pasukan Terbaik Di Dunia dan untuk mana-mana pasukan tentera yang pernah berkhidmat sewaktu zaman darurat di Persekutuan Tanah Melayu suatu waktu dahulu memanggil mereka “The Sarawak Headhunter”. Ketika Presiden Sukarno, presiden Indonesia suatu ketika dahulu pernah berkata di dalam satu ucapannya ” Tentera Iban ini datangnya tidak diundang, saat pergi semua bala tenteraku hilang nyawa. Ramai yang bercerai dari badan dan kepala. Mereka sungguh pantas hinggakan tidak terlihat oleh mata manusia”. Inilah antara kata-kata yang pernah merujuk kepada Sarawak Rangers iaitu satu pasukan separa tentera yang begitu gah dengan kepakaran mereka menjejaki musuh serta keberanian mereka yang tiada tolok bandingnya sehinggakan Sarawak Rangers dulu, kini dan selamanya tetap menjadi kebanggaan Bangsa Sarawak. Pasukan yang terkenal dengan moto “Agik Idup Agik Ngelaban” inilah yang akan menjadi artikel informasi sejarah untuk pembaca yang diberikan tajuk Sejarah Sarawak Ranger (1862-1963).

Sarawak Rangers merupakan satu pasukan separa tentera yang telah dibentuk oleh Rajah Charles Brooke iaitu Rajah kedua Negara Sarawak pada Oktober 1862. Pada awal penubuhannya pasukan separa tentera ini telah dianggotai oleh anak tempatan Sarawak berbangsa Iban seramai 32 orang. Mereka telah dipilih hasil daripada pemuafakatan Rajah Charles Brooke dengan tuai-tuai rumah etnik Iban yang menyokong kepimpinan keluarga Dinasti Brooke di Negara Sarawak pada ketika itu. Pemilihan 32 orang ini bukanlah hanya sekadar tangkap muat tetapi etnik Iban 32 orang ini merupakan antara pahlawan etnik Iban yang gagah perkasa serta terkenal dengan selok belok berperang yang mewakili kawasan masing-masing. Jadi apabila ada diantara pahlawan Iban yang sememangnya pandai di dalam taktik berperang ini mendapat kepakaran dan sentuhan daripada mereka yang berpengalaman di arena perang moden yang dibawakan khas daripada Negara Eropah maka mereka telah menghasilkan satu pasukan yang mantap. Pada ketika inilah, Rajah Charles Brooke telah menggunakan Sarawak Rangers di dalam perang-perang untuk meluaskan empayar jajahan Negara Sarawak pada ketika itu bagi melawan mana-mana mereka yang menentang pemerintahan Brooke di bumi Sarawak suatu ketika dahulu. Sekitar tahun 1930an iaitu ketika dunia menghadapi kemelesetan ekonomi yang teruk pada waktu itu, Sarawak Rangers juga mendapat tempias yang sama apabila pada 29 Februari 1932, Sarawak Ranger telah dibubarkan secara rasmi dan akibat pembubaran itu ada di kalangan Sarawak Rangers telah kembali ke kampong halaman masing-masing dan ada juga telah dengan rela hati diserapkan menjadi pasukan Polis Negara Sarawak. Pada ketika itu, Negara Sarawak telah stabil dan banyak keringat mereka dituntut untuk menjaga keamanan di bumi Sarawak pada masa itu.

Ketika Negara Sarawak di dalam persediaan untuk menghadapi Perang Dunia Kedua, sekali lagi Sarawak Rangers telah dipanggil untuk berbakti dengan Negara Sarawak. Pada ketika itu Rajah Charles Vyner Brooke telah membentuk Sarawak Rangers kembali bagi tujuan pertahanan dan mereka telah terlibat secara langsung di dalam mempertahankan Lutong, Miri dan Kuching sewaktu pencerobohan tentera Jepun pada Disember 1941. Ini terbukti apabila Sarawak Rangers adalah pertahanan terakhir sewaktu pertempuran terakhir di Kuching yang mana memaksa Sarawak Rangers untuk berundur ke kampong halaman masing-masing kerana kekuatan tentera Jepun sewaktu itu sememangnya begitu kuat sekali. Seperti kata pepatah lama biar putih tulang jangan putih mata, biarpun mereka telah berundur dan memberikan kemenangan kepada tentera Jepun namun begitu semangat anggota Sarawak Rangers mempertahankan bumi Sarawak tetap sentiasa ada di sanubari mereka dan akhirnya mereka bergabung dengan Major Tom Harisson iaitu seorang anggota tentera Tentera Komanwel daripada Australia yang melancarkan serangan gerila yang dikenali sebagai Pasukan “Z”. Kerana kepandaian dan kepakaran daripada Sarawak Rangers ini ramai tentera Jepun yang telah dibunuh oleh mereka. Setelah Jepun menyerah kalah akibat daripada pengeboman Hiroshima dan Nagasaki, pasukan Sarawak Rangers telah sekali lagi pulang ke kampong halaman mereka untuk kembali ke penghidupan normal mereka sebagai anak Sarawak.

Di ketika Malaya menghadapi serangan pengganas komunis iaitu pada tahun 1948 yang lebih dikenali sebagai zaman darurat komunis, sekali lagi pahlawan-pahlawan iban ini dituntut kepakaran mereka untuk membantu Malaya pada ketika itu oleh Kerajaan British Borneo Sarawak. Pada masa ini 49 penjejak Iban telah dihantar ke Malaya untuk membantu anggota pasukan tentera komanwel menangani pengganas komunis pada waktu itu. Kepakaran mereka menjejaki musuh di dalam hutan sememangnya tiada tolok bandingannya. Sepatutnya mengikut perjanjian 49 penjejak Iban ini hanya bertugas di Malaya selama 3 bulan dan selepas 3 bulan ada diantara mereka telah dengan rela hati untuk meneruskan perkhidmatan mereka di bumi Malaya pada waktu itu. Daripada 49 orang hanya 24 orang yang memilih untuk meneruskan perkhidmatan mereka dan 24 orang inilah yang diserapkan di dalam Pasukan Ferret No. 4 yang juga dianggotai oleh pasukan tentera Gurkha dan tentera Force 136. Selepas itu penjejak Iban ini telah datang silih berganti ke bumi Malaya dan dicatatkan sehingga tahun 1952 telah lebih 1,168 penjejak Iban yang berkhidmat sebagai Penjejak Iban Sarawak di bumi Malaya.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah ini iaitu penjejak Iban Sarawak yang kali pertama gugur di dalam perkhidmatan mereka di Malaya hanya berlaku pada 12 Mac 1951 iaitu Mendiang Jaweng anak Jugah yang berasal dari Kapit, Sarawak. Mendiang terkorban kerana ditembak secara tidak sengaja ketika melakukan serang hendap ke atas pengganas komunis. Pada ketika itu mendiang tersilap dikatakan sebagai salah seorang pengganas komunis. Bayangkan setelah beberapa tahun berkhidmat di bumi Malaya hanya pada tahun 1951 baru ada penjejak Iban yang terkorban di dalam perang. Inilah salah satu keisitimewaan penjejak Iban Sarawak Rangers yang sememangnya begitu pakar di taktik perang serang hendap. Selain itu tercatat satu lagi sejarah di dalam memartabatkan penglibatan penjejak Iban Sarawak Rangers di dalam perang di Malaya apabila Awang anak Rawing, anak iban dari Skrang telah dianugerahkan dengan Pingat George Cross manakala Menggong anak Panggit menerima Pingat George daripada Kerajaan Mahkota Great Britain atas keberaniannya menyelamatkan pasukan masing-masing sewaktu keganasan komunis berleluasa di bumi Malaya ketika itu. Biarpun penjejak Iban Sarawak ini merupakan mereka yang bertugas dengan tentera namun begitu mereka masih lagi tidak mendapat pengiktirafan sebagai anggota tentera sepenuhnya jadi bagi menjaga kebajikan mereka pada dari segi hak dan status setelah permuafakatan antara Kerajaan British Borneo Sarawak, pemimpin masyarakat Iban dan Kerajaan Koloni British maka pada tanggah 1 Januari 1953, Sarawak Rangers Unit Tanah Melayu telah ditubuhkan secara rasmi dengan pegawai pemerintahnya yang pertama adalah Leftenan Kolonel C.J Baird. Bermula dari tarikh hari itu, barulah Sarawak Rangers dengan rasminya menjadi anggota tentera sepenuhnya. Pada 1 April 1960, Sarawak Rangers Unit Sarawak, Borneo telah ditubuhkan secara rasminya di bumi Sarawak oleh Kerajaan British Borneo Sarawak dengan pegawai pemerintahnya merupakan anak tempatan yang juga salah seorang penjejak Iban Sarawak Rangers iaitu Leftenan Tomlow anak Isa. Ini merupakan satu penghormatan yang besar kepada perjuangan anak Iban di dalam Sarawak Rangers memandangkan ketika itu Sarawak masih lagi menjadi tanah jajahan Kerajaan British Borneo.

Sarawak Rangers keberanian dan kepakaran mereka dituntut di dalam banyak perang-perang di bumi asing contohnya di Malaya dan Brunei malah Sarawak sendiri walaupun ketika itu Sarawak belum lagi membentuk Gagasan Malaysia. Ada antara penjejak Iban Sarawak Rangers ini telah gugur di medan perang di bumi asing dan telah disemadikan dibumi asing suatu ketika dahulu dan hanya pada tahun 2011, 21 jenazah penjejak Iban telah dibawa pulang ke tanahair tercinta mereka iaitu Sarawak Bumi Kenyalang. Antara penglibatan perang mereka adalah seperti berikut:

1. Kempen mengamankan Sarawak era Rajah Brooke.(1862 – 1942)
2. Perang Gerila Jepun bersama ‘Reconnaissance Service Department’ (RSD) di Sarawak. (1942–1945)
3. Darurat Malaya. (1948 – 1960)
4. Darurat Sarawak (1952 – 1953)
5. Pemberontakan Brunei (1962)
6. Konfrantasi Indonesia Malaysia (1962 – 1963)

Di dalam perjanjian Penubuhan Malaysia, pihak Kerajaan British telah bersetuju untuk menubuhkan 2 buah batalian Askar Renjer Malaysia dan seterusnya melatih anggota-anggota tentera di peringkat awal dan seterusnya diikuti dengan penubuhan battalion ketiga. Penubuhan Askar Renjer Malaysia telah diumumkan di Parlimen British (House of Commons) oleh Secretary of State for Commonwealth Affairs pada 18hb Julai 1963. Hanya beberapa hari sebelum Sarawak dimerdeka secara rasminya iaitu pada 22hb Julai 1963. Ekoran daripada itu, Sarawak Rangers telah dibubarkan secara rasminya dan kemudian pada 16 September 1963, anggota Sarawak Rangers telah diserapkan menjadi Batalion Pertama Askar Renjer Malaysia. Batalion Kedua Askar Renjer Malaysia terdiri daripada anak tempatan North Borneo (Sabah) dan Batalion Ketiga Askar Renjer Malaysia merupakan anak tempatan Tanah Melayu,

Inilah sejarah panjang Sarawak Rangers dari tahun 1862 – 1963 yang kemudiannya dikenali sebagai Askar Renjer Malaysia setelah penubuhan Gagasan Malaysia pada 16 September 1963. Sarawak Rangers merupakan simbol kemegahan bangsa Sarawak dulu, kini dan selamanya dan sejarah tentang mereka seharusnya diketahui secara umum oleh rakyat Malaysia amnya dan Bangsa Sarawak khususnya. Kepakaran mereka sememangnya amat digeruni oleh musuh-musuh dan bakti serta perjuangan mereka di dalam memartabatkan keamanan di bumi Malaya dan Sarawak dilupa jangan. Semoga artikel ini dapat menjadi satu ruang informasi kepada Bangsa Sarawak di dalam mengenal sejarah perjuangan Sarawak Rangers di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.

Agik Idup Agik Ngelaban.
Salute Sarawak Rangers (1862-1963)

Sumber : Borneo Oracles

Kaasab dan Sumisi, Dewa Petir kepercayaan suku-suku Dusunic North Borneo

Kaasab merupakan salah satu roh berkuasa di awan-awan dalam kepercayaan agama tradisional Dusunic (Momogun). Roh ini merupakan roh yang paling agresif sekali di kalangan roh-roh yang berkuasa di awan-awan. Dewa ini ketika dilihat akan memiliki wujud seperti monyet. Menurut kepercayaan kaum Dusunic, musuh utama dewa ini adalah satu roh yang dipanggil “Sumisi.” Kedua-dua dewa ini tidak pernah damai dan selalu berperang sesama sendiri di awan-awan. Ketika dewa petir ini betarung dengan Sumisi, dia akan mengeluarkan ribut kencang. Selain daripada itu, kepercayaan lama juga mengatakan bahwa ribut kencang merupakan petanda bahwa ada manusia di “Riniba” yang melanggar “pantangan petir,” kerana zaman dulu orang menghormati dewa petir, dengan tidak melakukan perlanggaran pada pantang-pantang "gonit (petir)".

Gambar : Jamz Zee (FB)

Salah satu pantangan itu adalah mentertawakan kucing atau anjing. Satu pengalaman sewaktu kecil dengan bapa di sawah padi, ketika saya dan bapa sedang tidur di “sulap (pondok menyimpan padi)" tengah-tengah sawah, tiba-tiba ribut kencang datang menerbangkan bumbung sulap kami walaupun ketika itu tidak ada awan mendung, ini sangat menghairankan. Maka bapa saya berkata kepada saya “itulah di rumah tadi, kw ketawakan kucing,” barulah sy teringat, di rumah saya mentertawakan seekor kucing yang tersangkut di jaring “rambat (jala).” Selain itu, Kaasab juga kononya akan membuat anak-anak sakit, ketika “pantangan petir” ini dilanggar. Kepercayaan ini walaupun saat ini diberikan label “karut”, tapi inilah kode etika dan moral nenek moyang kita pada zaman dahulu, tujuannya sangat baik, supaya kita respect pada alam dan binatang ciptaan lain.

Kembali ke topik, meskipun Kaasab ini dewa yang paling agresif di awan-awan, tapi dia selalu kalah dalam pertarungan dengan dewa Sumisi. Dari segi etymologi, istilah “Kaasab” berasal dari istilah Dusunic “aasab,” yang ertinya “benci” atau “pembenci.” Istilah “aasab” juga dipakai untuk orang yang tidak suka ditegur; makin ditegur makin melawan. Menurut kepercayaan, setiap kali “Tulun Riniba (Manusia di bumi)” melanggar “pantangan petir (thunder tabus)”, Kaasab selalunya menuduh penyebabnya adalah “Sumisi,” maka Kaasab akan menyerang Sumisi untuk membalas dendam. Dalam pertempuran itu, ketika Kaasab bersembunyi di pohon, Sumisi akan menembaknya dengan giginya sehingga terjadinya petir.

Dewa Sumisi pula ketika dilihat, memiliki wujud seperti seekor tupai. Menurut kepercayaan lain, Tonsimong dan Sambawon juga dua dewa yang suka bertarung di langit, sehingga terjadi ribut petir dan hujan yang lebat. Ketika kedua-duanya bertarung, Sumisi akan memihak dan membantu Dewa Tonsimong untuk melawan Sambawon. Maka, hujan ribut juga merupakan tanda peperangan di awan-awan oleh Tonsimong dan Sambawon, yang juga merupakan roh-roh berkuasa di angkasa. Namun dalam pertempuran antara Tonsimong dan Sambawon, Sambawon selalunya akan menang. Tonsimong merupakan roh yg jahat, semantara Sambawon pula roh yg baik.

Sumber : Aki Rumantai (FB)