Kisah Monsopiad

Leave a Comment
oleh Fidelis Insing

Monsopiad merupakan seorang pahlawan kaum Kadazan yang sangat digeruni pada masa dahulu. Beliau dikatakan tinggal di suatu kawasan kampung berdekatan ibukota Sabah.

Monsopiad dikatakan sebagai pahlawan gagah yang tinggal 250 tahun yang lalu dan menjalankan aktiviti pemburuan kepala yang sudah diberhentikan kini. Di dalam Perkampungan Kebudayaan Monsopiad (Monsopiad Cultural Village) terdapat 42 tengkorak kepala yang merupakan mangsa Monsopiad. Kepala-kepala tengkorak ini adalah tanda keberanian serta kegagahan beliau dalam mata kaumnya. Kebanyakkan tengkorak kepala ini dipancung daripada lanun-lanun serta perompak yang sememangnya berleluasa pada masa lalu. Monsopiad juga pernah dicabar pahlawan di kalangan kaumnya sendiri daripada kawasan lain serta juga kaum lain juga. Pahlawan-pahlawan yang pernah mencabarnya kesemuanya telah menemui ajal dan tengkorak kepala mereka telah diletakkan di dalam rumah beliau sendiri.

Di dalam perkampungan Monsopiad terdapat satu batu besar beratnya 2 tan serta setinggi 4 meter  yang dinamakan Monolit. Batu besar ini diletakkan pada tempatnya kini oleh para penduduk kampung tersebut pada masa dahulu setelah diperintah Monsopiad. Masyarakat kampung tersebut telah diarahkan agar membina satu tugu bagi memperingati jasa beliau sendiri dengan bantuan bobohizan (bomoh Pagan) serta roh-roh yang diseru bomoh-bomoh ini.

Batu besar granit tersebut telah diukir daripada permukaan sebuah bukit dari pulau berdekatan. Batu ini diletakkan pada 2 buah rakit besar dan diangkut sejauh 10 batu melalui laut terbuka sehingga ke sungai Moyog sebelum diletakkan di tempatnya kini. Peristiwa ini boleh dikatakan agak menakjubkan memandangkan belu ada teknologi canggih 250 tahun yang lalu.

Monsopiad menggunakan batu ini untuk mengeringkan kepala mangsa yang telah dipenggalnya. Upacara ini sering dilakukan sambil para bobohizan membaca mantera serta diiringi nyanyian gadis-gadis muda. Pahlawan-pahlawan yang lain pula akan berteriak dengan suara lantang seperti dalam peperangan. Di dalam perkampungan bersejarah ini juga boleh dilihat pokok yang memiliki roh dan tanah perkuburan suci Latana seorang puteri kaum Kadazan.

0 comments:

Post a Comment