Kisah Gergasi Kinoringan

Leave a Comment
Suatu masa dahulu, sepasang suami isteri yang tinggal di suatu kampung aman iaitu Kelawat. Pasangan suami isteri ini sudah lanjut umur tetapi masih lagi belum dapat menimang cahaya mata lagi sejak sekian lama. Mereka berdua sering meminta tuhan Kinoringan agar mengurniakan mereka seorang anak.

Selepas itu, pada suatu hari semasa mereka sedang menikmati makanan tengah hari muncul suatu cahaya ganjil yang menerangi seluruh ruang rumah. Mereka menjadi takut dan kemudian bersembunyi di penjuru rumah sambil memejamkan mata mereka dengan rapat. Satu suara kemudian menyeru mereka berdua agar jangan takut serta  memberitahu mereka bahawa dia hanya ingin membantu. Suara itu juga telah memberitahu mereka bahawa Kinoringan telah mendengar doa mereka dan akan mengurniakan seorang anak kepada pasangan tersebut. Kedua-dua pasangan suami isteri ini kemudiannya telah membuka mata mereka dengan perlahan. Mereka menyangka akan bertemu dengan roh bersayap tetapi apa yang mereka lihat hanyalah cahaya ganjil yang menerangi rumah. Lelaki tua itu kemudian bertanya dari manakah cahaya itu berasal dan bagaimanakah pula mereka berdua akan mendapat anak dengan suara yang menggeletar ketakutan. 

Suara itu kemudiannya mengarahkan agar lelaki tua itu jangan bertanya dan mendengar penjelasannya yang seterusnya. Arahan yang ingin dikatakan kepada pasangan suami isteri itu adalah agar anak yang bakal dikurniakan itu tidak dibenarkan melihat darah selama tujuh minggu. Cahaya yang datang bersama-sama suara itu hilang perlahan-lahan selepas menyampaikan arahan tersebut. Beberapa bulan kemudian, pasangan suami isteri itu telah mendapat seorang anak lelaki. Orang-orang kampung yang tinggal bersama mereka berdua juga tumpang gembira setelah mendapat tahu berita tersebut. Para penduduk kampung juga membantu menjaga bayi mereka berdua dan sentiasa mengelakkan bayi tersebut daripada terlihat darah. Selama enam minggu, bayi tersebut telah dijaga dengan baik namun demikian pada minggu terakhir satu kemalangan telah terjadi. Seorang pengawal yang menjaga bayi tersebut telah menjatuhkan tempayan ke lantai. Serpihan-serpihan tempayan itu telah mengenai lengan bayi tersebut dan melukakannya. Darah yang mengalir itu telah dilihat bayi pasangan tersebut.

Sejurus selepas itu, kilat mula sabung-menyabung dan ini telah mengelirukan penduduk-penduduk kampung sekalian. Mereka sangat terkejut dan tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah mereka ternampak serpihan tempayan yang terjatuh itu. Bayi itu juga telah hilang dan bermulalah pencarian oleh para penduduk kampung itu. Mereka tahu bahawa mereka telah melanggar janji dan akan dihukum oleh Kinoringan kelak. Selama beberapa hari, penduduk kampung itu tinggal dalam ketakutan memikirkan hukuman yang akan dijatuhkan oleh Kinoringan terhadap mereka. Tetapi, setelah beberapa bulan berlalu tidak ada apa-apa berlaku dan secara beransur-ansur peristiwa itu telah dilupakan masyarakat kampung tersebut.

Kemudian pada suatu hari, semasa perjumpaan telah diadakan di pusat kampung muncul seorang pahlawan yang cedera serta berlumuran darah. Pahlawan itu berlari terus ke arah ketua kampung dan dari pengetahuan orang kampung, pahlawan itu bernama Talip. Talip yang sudah cedera parah itu jatuh tersungkur serta sesak nafas setelah sampai ke tempat ketua kampung berdiri. Ketua kampung itu dengan tidak semena-mena bertanyakan hal yang terjadi serta kehilangan adiknya Tiap. Talip ingin menjawab namun sebelum dia sempat memberitahu hal sebenar, maut telah menjemputnya pergi.Talip hanya sempat memberitahu adiknya telah ditangkap gergasi dan dia pula telah tercedera semasa ingin menyelamatkannya.

Setelah kematian pahlawan itu ketua kampung itu berasa amat marah dan sedih kerana mereka berdua merupakan pahlawannya yang terbaik. Keesokan harinya, 20 orang pahlawan gagah telah diarahkan oleh ketua kampung itu untuk memburu gergasi itu di kawasan hutan. Pahlawan-pahlawan yang disertai ketua kampung telah mencari gergasi itu dalam kawasan hutan yang tebal itu sehingga berbatu jauhnya dalam hutan sebelum mereka berehat berdekatan sebatang sungai untuk minum. Tidak lama kemudian ketua kampung telah terserempak dengan satu bayang-bayang besar. Gergasi yang bermata satu telah muncul dari hutan rimba sambil merenung ke arah pahlawan-pahlawan tersebut. Mata gergasi itu bersinar serta kemerah-merahan malah mempunyai gigi yang seakan-akan gading gajah. Sesetengah pahlawan itu terus cabut lari bersama-sama ketua kampung tetapi ada yang terlalu takut hingga tidak dapat bergerak. Gergasi itu seterusnya menyambar empat orang pahlawan sekaligus dengan kedua belah tangan dan menelan mereka satu demi satu manakala pahlawan-pahlawan yang lain pula berlari balik ke kampung. Cerita itu tersebar ke seluruh kampung setelah kepulangan mereka dan segelintir penduduk kampung telah membuat keputusan meninggalkan kampung itu. Namun, ketua kampung pula memberi amaran bahawa gergasi itu sedang menunggu di luar kampung menantikan mangsa seterusnya. Apabila para penduduk kampung terdengar amaran ini mereka mula melupakan hasrat mereka itu memandangkan ketua kampung itu juga merupakan seorang yang tinggi ilmunya.           

Setelah berbulan lamanya penduduk kampung tersebut tidak dapat keluar daripada kawasan kampung mereka kerana bimbang dibaham gergasi tersebut. Oleh itu mereka kekurangan makanan akibat tidak dapat keluar memburu di hutan. Ketua kampung itu akhirnya menyeru serta meminta bantuan daripada roh Libabau. Seruan daripada ketua kampung itu telah diketahui oleh Libabau dan bertanya apakah masalah mereka. Ketua kampung itu akhirnya menjawab bahawa mereka terlalu takut untuk pergi memburu kerana seekor gergasi sedang menunggu di luar. Ketua kampung itu bertanya lagi mengapakah gergasi itu datang ke kawasan mereka dan mengapakah gergasi itu tidak mahu pergi dari situ.  Limbabau seterusnya berkata bahawa penduduk kampung Kelawat telah melakukan kesalahan besar dan Kinoringan sangat marah dengan mereka. Limbabau menyatakan bahawa Kinoringan telah menukar bayi tersebut kepada gergasi tersebut untuk menakutkan para penduduk kampung tersebut. Namun begitu, Limbabau tetap berjanji akan menolong menyelesaikan masalah itu dan telah memberitahu para penduduk caranya untuk membunuh gergasi itu. Gergasi itu hanya akan mati apabila 7 anak panah yang telah direndam dalam darah selama 7 kali dipanah ke arah mata gergasi itu menurut Limbabau. Darah yang perlu disediakan itu pula seharusnya datang daripada diri para penduduk sendiri manakala tujuh anak panah beserta dengan alat memanah itu telah disediakan Limbabau di luar kampung mereka.

Selepas menyampaikan nasihat serta cara-caranya membunuh gergasi itu, Limbabau meninggalkan kampung tersebut. Ketua kampung merupakan orang yang pertama menitiskan darahnya ke dalam balang tersebut dan ini diikuti oleh orang-orang kampung yang lain. Keesokan harinya, ketua Kampung Kelawat meninggalkan kampungnya bersama-sama balang berisi darah tersebut. Tidak ada sesiapa yang berani keluar daripada kampung itu melainkan ketua kampung itu sendiri. Memandangkan beliau mempunyai kepakaran memanah yang terbaik dalam kampung itu, maka ketua kampung itu menawarkan diri sendiri untuk bersemuka dengan gergasi tersebut. Semasa ketua kampung itu dalam perjalanan memburu gergasi itu, dia terserempak dengan tujuh anak panah tersebut beserta alat memanah seperti yang dinyatakan Limbabau. Kemudian beliau meneruskan perjalanannya kembali sehingga beliau tiba ke tempat 4 orang pahlawan itu dibaham dahulu. Beliau berasa sangat marah dan bersumpah akan membunuh gergasi itu dengan apa jua cara sekalipun. Ketua kampung itu terjumpa dengan gergasi itu pada waktu petang. Pada kali ini rupa gergasi itu adalah lebih ganas dari dulu tetapi ketua kampung tersebut bertekad akan menghapuskan gergasi itu. Beliau dengan sepantas kilat merendamkan anak panah itu dalam darah dan melepaskannya ke arah mata gergasi itu. Panahan pertama itu mengenai mata gergasi tersebut walaupun telah cuba ditangkis olehnya. Gergasi itu mengerang kesakitan dan pada masa yang sama ketua kampung itu melepaskan satu lagi anak panah ke arah mata gergasi itu. Anak panah demi anak panah dilepaskan ke arah mata gergasi itu sehinggalah anak panah terakhir. Semasa anak panah ketujuh mengenai mata gergasi itu, teriakan yang amat kuat telah kedengaran. Gergasi itu akhirnya menjadi semakin kecil sehingga lesap dan sumpahan Kinoringan telah dipatahkan.

0 comments:

Post a Comment