KUCHING: Tanggal 1 Jun setiap tahun, kaum Dayak (Iban dan Bidayuh) di Sarawak menyambut Perayaan Hari Gawai untuk meraikan tamatnya musim menuai padi.
Sejarah perayaan ini bermula apabila sebuah forum dikelolakan di sebuah stesen radio pada tahun 1957 bagi membincangkan kepentingan mewujudkan suatu perayaan bagi suku kaum Dayak.
Ketika pemerintahan British, pihak koloni enggan mengiktiraf perayaan itu sehinggalah ia diwartakan secara rasmi oleh kerajaan Negeri Sarawak pada 25 September 1964 dengan usaha Dato Sri Tra Zehnder dan beberapa pemimpin Dayak yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika itu.
Pada asalnya Hari Gawai adalah perayaan yang lebih berbentuk keagamaan bagi kaum Dayak iaitu suku Iban, Bidayuh dan Orang Ulu sebagai tanda berterima kasih kepada ‘Petara’ (Tuhan) setiap kali selepas musim menuai dan sebelum memulakan penanaman padi untuk musim sete- rusnya.
Perayaan Gawai Dayak menuntut masyarakatnya menghargai budaya dan memastikan ‘semangat’ padi sentiasa dijaga dan terus dihormati selama-lamanya.
Perayaan Hari Gawai atau turut disebut sebagai “Hari Gawea” dalam dialek Bidayuh kini menjadi simbolik yang memperlihatkan perpaduan, aspirasi dan harapan kaum Dayak di Sarawak.
Berbanding dengan beberapa waktu dahulu, persediaan awal sebulan sebelum perayaan biasanya sudah dilakukan iaitu dengan menyediakan air tapai dikenali sebagai ‘tuak’.
Menjelang hari perayaan pula, golongan wanita Dayak akan sibuk bekerjasama membuat kuih tradisional seperti kuih penyaram, kuih sepit, kuih jala, kuih cap dan penganan yang diperbuat daripada tepung beras dan santan kelapa.
Menu makanan pula, ayam pansuh menjadi kemestian untuk juadah bersama keluarga atau tetamu yang datang berkunjung selain lemang pulut yang biasanya dibakar di perkarangan rumah bagi kegunaan adat istiadat misalnya upacara miring untuk dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan.
Ketika perayaan Gawai, setiap suku kaum Dayak lengkap berpakaian tradisional masing-masing dengan motif dan corak yang unik serta menonjolkan lagi kecantikan semulajadi paras rupa mereka.
Bagi anak-anak gadis pula, mereka akan mengenakan perhiasan perak dan gubahan manik yang diwarisi sejak turun-temurun serta memiliki seni estetika yang cukup mengagumkan. Khazanah ini menjadi kebanggaan bagi setiap suku kaum Dayak kerana ia merupakan peningggalan yang diwarisi dari generasi ke generasi.
Seperti perayaan Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan lain-lain, amalan kunjung mengunjung atau dalam dialek tempatan ‘ngabang’ juga diamalkan oleh masyarakat Dayak bagi memeriahkan suasana perayaan.
Kumang Gawai
Selain itu, antara aktiviti ter- kenal diadakan ketika perayaan Hari Gawai adalah pertandingan ratu cantik atau Kumang Gawai. Biasanya, sambutan perayaan Gawai dianggap berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat diturunkan dan seterusnya majlis Ngiling Bidai dilakukan yang memberi signifikan perayaan sudah pun tamat.
Hakikatnya, sambutan Gawai Dayak sebenarnya tidak terhad pada 1 Jun semata-mata. Konsep Gawai juga disambut dalam pelbagai cara dan maksud serta berbeza-beza mengikut suku kaum serta etnik berdasarkan bahagian dan daerah tempat masing-masing.
Secara umum, Gawai Dayak adalah sambutan tahunan dalam komuniti masyarakat Iban juga dikenali sebagai Gawai Padi di- ikuti puluhan sambutan gawai yang lain.
Gawai Antu
Selain itu, antara gawai lain yang popular dalam komuniti Iban adalah Gawai Burong, Gawai Antu dan Gawai Pangkung Tiang.
Gawai Burong disambut bagi tujuan untuk menyembah dan memuja Sengalang Burong iaitu tuhan peperangan, perlindungan dan keamanan.
Gawai Antu pula adalah sambutan terakhir memperingati semua orang yang sudah me- ninggal dunia dalam satu generasi keluarga sejak sambutan Gawai Antu sebelumnya.
Gawai Antu ini harus disambut hanya sekali dari satu generasi ke satu generasi secara besar-besaran. Sementara itu, Gawai Pangkung Tiang disambut dengan memukul tiang utama rumah sesudah pindah ke rumah baru sebelum ada kematian bagi memohon “gayu guru, gerai nyamai senang lantang nguan menoa” iaitu bermaksud “panjang umur, sihat walafiat serta senang lenang mendiami dunia.”
Gawea Bidayuh
Komuniti Bidayuh pula terdiri daripada tiga kumpulan besar iaitu Singai-Jagoi (Daerah Bau), Bukar-Sadong (Daerah Serian) dan Biatah (Daerah Padawan/Siburan).
Kebanyakan komuniti Bidayuh ini berkongsi adat resam, tradisi dan sambutan perayaan yang hampir serupa walaupun bahasanya berlainan dari satu daerah ke daerah yang lain.
Antara sambutan gawai yang popular dalam komuniti Bidayuh Bau ialah Gawea Podi/Umoh, Gawea Tubi Bauh, Gawea Sowa Bauh dan Gawea Sopid/Oran.
Gawea Podi/Umoh disambut dengan tujuan memohon berkat “Ieng Topa” (Tuhan) ke atas benih padi dan pada masa sama memohon berkat ke atas tanah agar subur dan tidak dilanda bencana alam seperti banjir atau kemarau.
Gawea Tubi Bauh pula dirayakan bagi memohon berkat “Ieng Topa” untuk memberi kebenaran kepada penduduk untuk menuai padi yang sedang menguning.
Menurut kepercayaan masyarakat setempat, sekiranya ritual ini tidak dilakukan, penduduk akan sakit apabila memakan hasil tanaman tersebut.
Sementara Gawea Sowa Bauh pula merupakan perayaan yang disambut besar-besaran bagi tanda kesyukuran dan menunjukkan tamatnya musim menuai padi dan bermula tahun penanaman padi yang baharu.
Masyarakat Dayak di Sarawak sekarang boleh berbangga dengan pengiktirafan sambutan Hari Gawai yang telahpun dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Sarawak.
0 comments:
Post a Comment