Adat Kelahiran Cara Tradisional Dusun Tatana

Leave a Comment
Bidan merupakan orang yang bertanggungjawab tentang kelahiran seorang anak. Bidan terdiri daripada kaum perempuan yang lanjut usia dan mengetahui tentang selok-belok perubatan masyarakat Dusun Tatana secara menyeluruh. Tugas bidan meluas iaitu sejak bayi di dalam kandungan sehinggalah selamat dilahirkan.  Sejak di dalam kandungan lagi bidan memastikan keadaan bayi berada di dalam keadaan sihat. Kandungan akan dijaga dengan baik dan bidan memberi beberapa pantang larang kepada ibu mengandung. Ini penting supaya kandungan berada di dalam keadaaan sihat. Apabila sahaja bayi dilahirkan, tugas bidan lebih berat. Bidan perlu memastikan bayi dalam keadaan sihat terutama jika seseorang itu beranak sulung.  
KELAHIRAN [Bersalin]

Biasanya ibu yang bersalin dikenakan pantang. Bagaimanapun bilangan hari berpantang bergantung kepada unsur kasta. Bagi orang kebanyakan tempoh berpantang ialah tujuh hari. Bagi orang yang berdarjat, tempoh pantangnya ialah 21 hari. Manakala bagi yang berdarjat lebih tinggi, tempohnya ialah 44 hari.

Sepanjang tempoh berpantang, si suami tidak dibenarkan berada jauh dari rumah. Sejak hari kelahiran hingga tamat tempoh berpantang, ibu dan anak yang baru lahir diberi kawalan secara mistik oleh bidan agar tidak diganggu oleh makhluk halus. Biasanya jampi mantera digunakan untuk mengusir makhluk halus di sekitar tanah. Tempat darah yang mengalir ketika ibu itu bersalin, digantung dengan daun-daun limau.

Antara pantang yang mesti diikuti oleh ibu yang bersalin ialah dia tidak boleh makan ikan yang bertulang keras, ikan yang berduri, nasi sejuk dan nasi bercampur air seperti bubur. Manakala bagi bayi yang baru lahir terutamanya dari hari pertama hingga hari ke tujuh, bayi tidak boleh dibawa ke ruang yang terdedah, umpamanya ke halaman rumah. Ini untuk mengelakkan bayi itu daripada diganggu oleh roh jahat yang dinamakan Rogon.  Justeru itu sahabat-handai yang tinggal di kawasan itu tidak boleh berkunjung melainkan saudara-mara yang terdekat.

Selain mengurus tentang kelahiran anak, bidan ini juga bertanggungjawab tentang ubat-ubatan yang terdiri daripada akar-akar kayu, herba dan sebagainya. Pada masa yang sama beberapa urutan akan dilakukan ke atas ibu yang baru bersalin untuk memulihkan tenaga yang hilang semasa bersalin dahulu. Bidan juga perlu tahu meramu pelbagai jenis bahan untuk dijadikan ubat-ubatan. Bidan yang tahu tentang kegunaan sesuatu jenis herba untuk setiap penyakit merupakan satu kelebihan.

Biasanya akar-akar kayu atau herba dibentuk menjadi ubat yang mujarab dan boleh mengubati pelbagai penyakit. Antara herba yang paling banyak digunakan dalam masyarakat Dusun Tatana ialah cekur, akar kacip fatimah, halia dan pelbagai jenis lagi. Kebanyakan tumbuhan herba ini diperoleh di kawasan persekitaran.  Terdapat pelbagai jenis bentuk ubat yang boleh dibuat oleh bidan untuk menyembuh sesuatu penyakit. Bidan boleh merebus sahaja tumbuhan herba itu dan kemudian diberi minum kepada ibu-ibu yang baru bersalin.

Cara ini diamalkan oleh sebilangan besar bidan. Cara lain yang turut digunakan ialah dengan mencampurkan minyak kelapa dan kemudian diurut pada bahagian yang sakit. Cara ini digunakan kepada ibu-ibu yang baru bersalin untuk memulihkan semula tenaga mereka.  Sungguhpun kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk pesakit, tetapi bidan kampung masih lagi diperlukan. Ini adalah kerana kebanyakan masyarakat dusun tatana mendiami kawasan pedalaman yang jauh dari klinik atau hospital. Oleh itu peranan bidan amat popular di kalangan mereka.

KELAHIRAN [Selepas Lahir]

1. Berpantang
Wanita-wanita yang baru melahirkan anak terpaksa berpantang selama empat puluh hari hari. Ibu tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk angin. Pusat bayi yang baru dilahirkan diikat dan dililit dengan sehelai kain pada perutnya.

Ini bertujuan untuk mengelakkan perut bayi dimasuki angin dan untuk mengeringkan tali pusat. Pusat bayi yang tenggelam ke dalam adalah petanda bagi masyarakat Dusun Tatana. Anak tersebut dipercayai akan menjalani kehidupan yang senang pada masa depan. Manakala pusat yang tersembul dikaitkan dengan hidup yang kurang baik. Bayi yang baru lahir selalu diperhatikan bentuk fizikalnya oleh orang-orang tua. Mereka akan mengaitkan telinga yang lebar dan tebal sebagai bakal menjalani kehidupan yang kaya. Mereka mempercayai sekiranya terdapat lebih daripada satu pusar di atas kepala, bayi akan menjadi nakal dan tidak mendengar kata.

Dari segi pemakanan, mereka menggunakan sejenis arak yang dibuat daripada beras yang
diperam dalam masakan mereka. Arak tersebut dimasukkan bersama-sama ayam, halia dan lada, kemudiannya digoreng. Masakan panas dan pedas ini dipercayai dapat mengeluarkan angin daripada badan wanita yang bersalin di samping menguatkan semula tenaga.

2. Kenduri
Mereka juga akan mengadakan kenduri iaitu apabila bayi mencapai
umur sebulan. Kuih khas yang berbentuk bulat berwarna merah dan kuning yang berintikan kacang dan tau su serta telur yang diwarnai merah kemudiannya diberikan kepada saudara-mara yang terdekat.

Mereka yang mendapat kuih dan telur ini akan membalasnya dengan membawa hadiah berupa pakaian bayi dan pati ayam untuk ibu-ibu.

3. Mencukur Rambut
Mereka juga mengamalkan adat mencukur rambut. Mereka akan mencukur rambut bayi kerana beranggapan rambut bayi yang dilahirkan adalah rambut sementara.
Rambut yang tumbuh semasa dalam kandungan perlu dicukur untuk menumbuhi rambut baru. Adat ini sebagai pengiktirafan terhadap kelahiran orang baru ke dalam masyarakat.

4. Memberi Nama
Nama yang diberi haruslah mengandungi maksud yang baik seperti lambang kekayaan, kemewahan dan kesejahteraan. Bunyi nama mestilah sedap didengar.

Sumber : Dusun Tatana ( FB )

0 comments:

Post a Comment